gototopgototop

Saturday, Jul 02nd

Last update09:38:04 AM GMT

You are here News PAPA cadang had usia amah 18 tahun

PAPA cadang had usia amah 18 tahun

Picture_4

Langkah untuk tarik pekerja asing lebih muda, cergas

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) meminta kerajaan menurunkan had umur pekerja asing bagi sektor pembantu rumah daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Presidennya, Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata langkah itu bagi membolehkan lebih ramai rakyat asing bekerja di sektor itu di sini, khususnya yang muda dan cergas.

Beliau berkata, dengan cara itu juga kerajaan akan dapat menyelaraskan had umur pekerja asing di sektor lain seperti peladangan, perkhidmatan dan pembinaan yang ketika ini dibenarkan pada umur 18 tahun hingga 45 tahun.

"PAPA sudah menghantar memorandum cadangan itu kepada Kementerian Sumber Manusia, Rabu lalu, termasuk meminta kerajaan memperluaskan negara sumber pembantu rumah asing.

"Kita berharap kerajaan menimbang secara positif cadangan ini dan berbincang dengan kerajaan negara sumber supaya penyelarasan had umur bagi pembantu rumah dapat dilakukan," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Ketika ini kerajaan menetapkan had umur bagi pembantu rumah warga asing ialah 21 tahun dan tidak lebih 45 tahun.

Dianggarkan kira-kira 350,000 pembantu rumah warga asing berdaftar dengan Jabatan Imigresen sehingga kini.

Ditanya negara sumber baru untuk sektor pembantu rumah, Raja Zulkepley berkata, PAPA meminta kerajaan membenarkan tenaga kerja itu diambil dari China dan Myanmar.

Katanya, permohonan itu juga bagi menampung kesukaran mendapatkan pembantu rumah Indonesia sekarang dan semakin mahal sehingga melebihi RM4,000 seorang dikenakan ejen di negara itu tidak termasuk kos pengurusan di Malaysia.

Katanya, kemasukan pembantu rumah Indonesia sekarang juga merosot sehingga 60 peratus berbanding 7,000 orang sebulan awal tahun ini.

"Sebab itu, PAPA memohon dengan kerajaan supaya membenarkan pengambilan pembantu rumah asing dari China untuk memenuhi permintaan yang terus meningkat daripada majikan tempatan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Vietnam sebagai negara sumber baru pembantu rumah asing bersedia membekalkan tenaga kerja berkenaan.

"Saya sudah berbincang dengan pihak berkuasa kedutaan Vietnam di sini minggu lalu dan kerajaan negara itu bersetuju membekalkan tenaga kerja pembantu rumah ke Malaysia.

"Sebagai permulaan 20 agensi pembantu rumah asing yang hanya menjadi ahli PAPA dibenar membawa masuk pembantu rumah dari negara itu," katanya.

Oleh Aman Maamor
Berita Harian, 5 Julai 2008