gototopgototop

Tuesday, Jan 26th

Last update09:38:04 AM GMT

You are here News Papa minta hapus kursus induksi untuk amah

Papa minta hapus kursus induksi untuk amah

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menghapuskan kursus induksi untuk pembantu rumah Indonesia dan mempercepatkan proses kelulusan membenarkan pekerja sektor itu memasuki negara ini.

Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) mendakwa kursus itu yang mula diwajibkan mulai 1 Jun lalu kini membebankan majikan yang terpaksa menanggung bayaran RM120 untuk membolehkan pembantu rumah mendapat sijil kelayakan (CE) bekerja di Malaysia.

Presidennya, Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata tanpa sijil itu, pekerja Indonesia seperti sektor pembinaan, peladangan dan pembantu rumah tidak layak bekerja di sini.

Katanya, mereka yang menjalani kursus itu di beberapa pusat latihan yang diiktiraf Kerajaan Malaysia dan mendapat CE akan disenaraikan dalam sistem komputer Imigresen di sini.

Beliau mendakwa agensi Papa kini sukar mendapatkan pembantu rumah Indonesia berikutan proses kelulusan oleh pihak berkuasa di sini untuk membawa masuk pekerja berkenaan mengambil masa terlalu lama antara tiga hingga lima bulan.

“Saya sudah menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam pagi tadi (semalam) supaya mengkaji semula kursus induksi itu membabitkan bayaran sebanyak RM120 terpaksa ditanggung majikan.

“Surat sama juga dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing.

“Saya berharap kerajaan mengkaji kenapa proses kelulusan untuk membawa masuk pembantu rumah terlalu lama menyebabkan majikan menuduh Papa tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr Subramaniam minggu lalu bahawa kerajaan tetap dengan keputusan mengenakan bayaran wajib RM120 kepada majikan yang memohon pekerja dari Indonesia walaupun dasar itu didakwa menyulitkan proses mendapatkan tenaga kerja dari republik itu dan membebankan majikan di sini.

- Petikan Berita Harian,07 Jun 2008