gototopgototop

Saturday, Aug 20th

Last update09:38:04 AM GMT

You are here News Kursus amah percuma ditawar

Kursus amah percuma ditawar

Oleh Magendran Rajagopal

This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menawarkan kursus pembantu rumah percuma kepada penduduk tempatan sebagai langkah jangka panjang mengurangkan pergantungan negara kepada khidmat pembantu rumah asing yang kini mencecah 325,000 orang dan semakin bertambah.

 

Menterinya, Datuk Dr Ng Yen Yen, berkata setiap peserta akan diberi sijil apabila menamatkan kursus yang merangkumi kemahiran menguruskan rumah, penjagaan kanak-kanak dan penjagaan warga tua yang mempunyai masalah kesihatan.

 

"Dengan ada kelayakan seumpama ini, saya berharap orang ramai akan terdorong memilih warga tempatan sebagai pembantu rumah dan kita akan berusaha memperkenalkan bidang ini sebagai sektor kerjaya baru untuk wanita tempatan.

 

"Saya percaya ada permintaan menggalakkan untuk pembantu rumah warga tempatan pada masa depan kerana tidak banyak kerenah perlu dilalui majikan bagi menggaji mereka memandangkan tidak perlu berurusan dengan imigresen.

 

"Mungkin ada yang tidak percaya warga tempatan mahu bekerja sebagai pembantu rumah, tetapi ini juga satu peluang kerja dan kami memberi nilai tambah dengan menawarkan latihan percuma," katanya ketika dihubungi semalam.

 

Cadangan terbabit antara strategi mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing yang dibincangkan dengan Dr Ng dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam baru-baru ini.

 

Dr Ng berkata, latihan pembantu rumah disyorkan kementerian itu turut menyentuh aspek kesihatan, penyediaan makanan, membersihkan rumah dan penjagaan warga tua serta bayi iaitu latihan jarang dijalani pembantu rumah warga asing.

 

Beliau juga yakin orang ramai lebih cenderung memilih rakyat tempatan sebagai pembantu rumah dalam jangka panjang dan mencadangkan ungkapan 'pembantu rumah' digantikan dengan 'pengurus rumah' bagi mencerminkan bidang tugas sebenar kerjaya itu.