gototopgototop

Wednesday, Jul 17th

Last update09:38:04 AM GMT

You are here News China sedia benar rakyat jadi amah

China sedia benar rakyat jadi amah

China sedia benar rakyat jadi amah

KUALA LUMPUR: Kedutaan China di sini bersedia membenarkan tenaga kerja wanita dari negara itu dibawa masuk ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Presiden Papa, Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata perkara itu dinyatakan Pegawai Atase Buruh di Kedutaan China di sini, dalam perbincangan awal dengan Papa di kedutaan itu, Jumaat lalu.

Katanya, usaha membawa masuk pembantu rumah asing dari China juga dapat mengatasi kesukaran Papa mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia sejak kebelakangan ini .

Beliau berkata, rasional membawa masuk pembantu rumah asing dari republik itu ialah 85 peratus majikan di negara ini menggunakan pembantu rumah adalah masyarakat Cina.

“Jadi kita rasakan sesuai dan lebih mudah pembantu rumah berbangsa Cina bekerja dengan majikan Cina kerana budaya dan adat mereka tidak jauh beza,” katanya.

“Kita akan mengadakan perjumpaan dengan pihak berkaitan di China bagi tujuan itu awal tahun depan,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Difahamkan pembantu rumah dari Indonesia tidak berminat bekerja dengan majikan di Malaysia kerana sering menjadi mangsa penderaan fizikal dan psikologi.

Raja Zulkepley mengakui masalah itu berlarutan sejak lebih setahun lalu dan banyak agensi pembantu rumah di sini sukar memenuhi permintaan majikan mendapatkan pembantu rumah Indonesia dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, majikan di Malaysia lebih berminat mengguna khidmat pembantu rumah Indonesia kerana mereka rajin bekerja.

“Masalahnya, ada segelintir majikan mengambil kesempatan (atas sikap rajin pembantu rumah Indonesia) seperti tidak membayar gaji, menyuruh melakukan kerja bertentangan tuntutan Islam dan dilayan seperti hamba abdi,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan sudah memberi kelulusan membawa masuk pembantu rumah dari China, beliau berkata, Papa sudah beberapa kali mengemukakan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sehingga kini kerajaan belum membuat keputusan.

“Kita berharap kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya dan dibincang dalam Kabinet,” katanya.

Petikan dari : Berita Harian(15 September 08)